Pentaksiran Membaca
Pentaksiran merupakan satu proses yang merangkumi beberapa langkah untuk
menentukan tahap bagi sesuatu ciri yang diperoleh murid yang melakukan
pembacaan setelah mengalami proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam proses
pengajaran dan pembelajaran membaca, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu
kemahiran membaca yang diajar oleh guru dinilai melalui skor ujian yang dapat
digunakan untuk mentaksir matlamat dan objektif pembelajaran bacaan.
Kategori pentaksiran:
Pentaksiran Sumatif: Pentaksiran ini dijalankan pada akhir
kursus atau projek. Dalam pendidikan, pentaksiran ini digunakan untuk memberi
gred kursus yang diambil.
Pentaksiran Formatif: Pentaksiran formatif lazimnya dijalankan
sepanjang sesuatu kursus atau projek. Pentaksiran ini merupakn satu kaedah
untuk membantu murid belajar. Pentaksiran ini tidak memfokuskan kepada
pemberian gred kerana tujuannya bukan untuk membandingkan pencapaian murid.
Pentaksiran Berasaskan Prestasi :
Pentaksiran ini berdasarkan pentaksiran standard melalui soalan-soalan
yang standard.
Pentaksiran Internal Dan Eksternal:
Pentaksiran internal disemak oleh guru dan guru memberi maklum balas terhadap
pentaksiran tersebut. Pentaksiran eksternal ditentukan oleh sesuatu badan
seperti Majlis Peperiksaan Malaysia dan disemak oleh pakar dari luar.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Pentaksiran ini dijalankan oleh guru semasa proses p&p dalam kelas.
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu merangkumi
aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan
sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS mentaksir proses dan
produk secara formatif dan sumatif. Dalam keterampilan membaca, murid boleh
menzahirkan kefahaman mereka melalui aktiviti kognitif. Contohnya, mampu
menjawab soalan yang diberikan dan bercerita tentang perkara yang difahami
berdasarkan pembacaan mereka. Pentaksiran yang seimbang ialah pentaksiran yang
memberi keutamaan kepada perkembangan potensi murid melalui pendidikan yang mementingkan
pembinaan dan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pemgamalan nilai yang
positif. Pentaksiran prestasi murid diukur melalui Kerangka Standard Prestasi
yang mempunyai 6 kategori prestasi yang dinamakan band standard. Band 1
merupakan kemahiran dan pengetahuan yang paling rendah manakala Band 6 ialah
kemahiran dan pengetahuan yang paling tinggi.
Pentaksiran Formal
Pentaksiran ini dilakukan secara bertulis seperti ujian, kuiz dan esei.
Pengurusan pentaksiran jenis ini adalah lebih tersusun. Tujuannya untuk menilai
kemajuan murid dalam satu-satu jangka masa pengajaran. Pengujian ialah proses
menggariskan satu siri tugasan untuk diselesaikan. Ujian digunakan bagi
mengukur “penguasaan” pelajar dalam membaca sesuatu bahan bacaan. Ujian yang bermutu
dan mentaksir dapatannya dengan tepat perlu diberi keutamaan kerana kaedah
ujian ini sering digunakan untuk penilaian pengajaran dan pembelajaran bacaan.
Ciri-ciri ujian perlu diberi keutamaan seperti kesahan ujian, boleh dipercayai,
objektif, boleh ditadbir dan mudah ditaksir.
Pentaksiran Tak Formal
Pentaksiran tak formal dalam pengajaran kemahiran membaca dapat memberi
gambaran menyeluruh berkaitan kemahiran, kebolehan dan perkembangan berterusan
tentang pencapaian membaca murid. Pentaksiran ini membolehkan guru mengenal
pasti kelemahan yang wujud dalam diri murid dan dapat merancang program
intervensi lebih awal bagi mengatasi masalah ini. Pentaksiran ini berlaku
sepanjang masa pengajaran kemahiran membaca. Dalam pentaksiran tak formal ini,
alat yang digunakan untuk mengukur perkembangan murid adalah berbeza dan
mengikut kesesuaian objektif pentaksiran tersebut. Lazimnya, kaedah yang
digunakan ialah senarai semak, skala dan catatan guru-guru.
No comments:
Post a Comment